Monday, June 16, 2008

Pas sedia bermuzakarah: Nik Aziz

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik saranan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya pemimpin-pemimpin Melayu Muslim duduk semeja atas semangat persaudaraan untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi negara hari ini.

“Kalau mengadakan muzakarah sudah lama kita (Pas) mahukan ia diadakan supaya pemimpin dapat duduk semeja. Kami bersedia lama dah nak adakan muzakarah tetapi mesti ada asas tertentu.

“Selepas kekalahan lima negeri baru hendak adakan pertemuan padahal perkara itu pernah kita cadangkan sebelum ini," katanya ketika mengulas cadangan mufti tersebut yang disiarkan di Sinar Harian, Sabtu lalu.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dengan mana-mana pemimpin Melayu, termasuk dari UMNO, tetapi meletakkan syarat tertentu.

“Syaratnya kita perlu ikhlas dan sikap itu hanya wujud dalam Pas. Islam mengajar kita supaya ikhlas dan jujur tetapi UMNO tidak ikhlas selagi mereka terus berpegang dengan konsep nasionalis,” katanya.

Jumaat lalu, Mufti Perlis menyarankan perkara itu setelah melihat perkembangan politik negara yang tidak berapa sihat dewasa ini dan hal itu perlu dilakukan bukan atas semangat politik kepartian semata-mata.

Beliau dilaporkan berkata, masa depan negara dan umat lebih utama daripada segala-galanya dan sebab itu beliau merayu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nik Abdul Aziz supaya sudi duduk semeja demi kepentingan negara.

Mursyidul Am Pas itu berkata, silap pemerintahan UMNO sendiri yang menyebabkan mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu sehingga menggugat kepercayaan rakyat pelbagai kaum mengundi UMNO.


Baca lagi

No comments: