Rakyat bersuara mendesak kerajaan mengharamkan Dong Zong dan Jiao Zong.
Seorang daripadanya, Firdaus Wong Wai Hung, menulis: “Mungkin sudah
tiba masanya kerajaan mengharamkan Dong Jiao Zong yang rasis ini sebelum
keadaan menjadi lebih parah.”
Seorang lagi, Mohd Ridhuan Tee
Abdullah, pula menulis: “Saya merayu kepada PM supaya segera
mengharamkan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong yang sangat rasis
sebelum sesuatu bencana kaum berlaku kepada negara tercinta ini.”
Seorang pemuka Cina lain, Dr Ang Ming Chee, malah pernah menanyakan
soalan dalam tesis PhD beliau dari National University of Singapore
mengapa Kerajaan Malaysia hingga kini belum mengharamkan Jiao Zong dan
Dong Zong.
Saya juga ingin mengulangi soalan Dr Ang Ming Chee:
Mengapa Kerajaan Malaysia hingga kini belum mengambil apa-apa langkah
untuk mengharamkan Jiao Zong dan Dong Zong tatkala Perdana Menterinya
sendiri sudah bersuara?
Dua hari berturut-turut, iaitu pada 12
dan 13 Ogos 2019, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar keras Dong Zong
dengan menyifatkannya sebagai rasis.
Bila ditanya apakah apa
yang dilakukan oleh Dong Zong melanggar undang-undang, Tun Dr Mahathir
berkata “jika ia terus menghasut rakyat untuk bergaduh sesama sendiri
sudah tentu ia melanggar undang-undang”.
Bila ditanya apakah
beliau berpendapat Dong Zong perlu diharamkan, Tun Dr Mahathir berkata
ia bergantung kepada keputusan pihak berkuasa seperti pihak polis.
Semalam, Tun Dr Mahathir sekali lagi memberi amaran bahawa Kongres
Pertubuhan China anjuran Dong Jiao Zong di Kajang pada 28 Disember ini
akan mendatangkan huru-hara dan ketidakstabilan (chaos and instability).
Peliknya mengapa pihak berkuasa seperti pihak polis dan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan belum kedengaran melakukan siasatan dan bertindak
ke atas Dong Zong dan Jiao Zong.
Paling jelas adalah kuasa
Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan
di bawah Seksyen 13 (1) (b) dan (c) Akta Pertubuhan 1966, iaitu:
Seksyen 13 (1) (b): Atas perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah Seksyen 5.
Seksyen 13 (1) (c) (ii): Bahawa pertubuhan itu mungkin digunakan
bagi maksud-maksud yang menyalahi undang-undang atau bagi maksud-maksud
yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan,
ketenteraman atau akhlak di dalam Persekutuan.
Seksyen 13 (1)
(c) (ii): Bahawa pertubuhan itu adalah berusaha hendak mencapai
tujuan-tujuan lain daripada tujuan-tujuan yang ia didaftarkan.
Paling mudah adalah perintah Menteri di bawah Seksyen 5 (1) Akta
Pertubuhan 1966: “Maka adalah sah di sisi undang-undang bagi
Menteri, menurut budi bicaranya yang mutlak, mengisytiharkan sebagai
menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan yang pada pendapatnya
adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang
bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman
awam atau akhlak.”
Sangat terang dan nyata, seperti disebut
oleh Tun Dr Mahathir sendiri, bahawa apa yang dibuat oleh Dong Zong dan
Jiao Zong adalah memudaratkan dan bertentangan dengan kepentingan
keselamatan Persekutuan dan ketenteraman awam.
Sangat terang
dan nyata juga bahawa apa yang dibuat oleh Dong Zong dan Jiao Zong
adalah bercanggah dengan tujuan-tujuan yang ia didaftarkan, termasuk
kononnya ia bertujuan untuk “memupuk keharmonian dan perpaduan antara
kaum”.
Petisyen pengharaman yang digerakkan oleh Gerakan
Pengundi Sedar (GPS) juga sudah mencecah 214 ribu tandatangan manakala
petisyen pengharaman yang digerakkan oleh Kelab Bunga Raya (KBR) pula
sudah mencecah 119 ribu tandatangan.
Apa lagi yang mahu ditunggu? Takkanlah mahu ditunggu Melayu mengamuk lagi?
DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 21/12/2019
Saturday, December 21, 2019
Dong Zong, Jiao Zong wajar diharamkan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment