Sunday, April 20, 2008

Bodoh jika minta Abdullah undur pesan Nazri Aziz kepada ahli Umno

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata perbuatan sesetengah anggota Umno yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletakkan jawatan, adalah tindakan yang bodoh.

Menyatakan yang mereka sebenarnya tidak faham makna demokrasi, katanya adalah tidak wajar bagi pemimpin Umno untuk mendesak Abdullah melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri dan presiden Umno kerana ia bermakna menafikan hak rakyat yang telah mengundi Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara.

"Dalam pilihan raya umum bulan lepas, rakyat telah memilih BN sebagai wakil majoriti dalam Parlimen dengan 140 kerusi yang melayakkan pemimpin BN menjadi perdana menteri.

"Ini bermakna rakyat, yang mengetahui bahawa BN bertanding dalam pilihan raya dengan Pak Lah sebagai pemimpin BN, sedar bahawa jika BN menangi kerusi terbanyak, dengan itu Pak Lah akan menjadi perdana menteri.

"Dengan meminta Pak Lah mengundurkan diri, dengan itu mereka sebenarnya memberitahu pengundi bahawa mereka tidak boleh menjadikan Pak Lah sebagai perdana menteri. Apakah hak mereka untuk berkata begitu," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Menggesa anggota Umno untuk berhenti mendesak Abdullah meletakkan jawatan, Nazri berkata adalah salah untuk berbuat demikian.

Beliau berkata Umno sepatutnya menumpukan untuk mentadbir negara ini dan menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat sebelum mereka kehilangan sokongan orang ramai.

"Saya fikir apa yang rakyat mahukan sekarang ialah bagi kami untuk mula mentadbir negara. Mereka sudah bosan diberitahu mengenai apa yang nak dibuat, kini mereka mahu kami mentadbir, bukan Umno memberitahu mereka yang Pak Lah tidak layak menjadi perdana menteri," katanya.

Baca Seterusnya

No comments: