Sunday, April 20, 2008

Peruntukan RM4b sedia stok penimbal, buka kawasan baru – PM

Perhatian : Sekadar baca sahaja, percaya? itu kena fikir dahulu.


KUALA LUMPUR 19 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM4 bilion bagi menjamin bekalan makanan mencukupi untuk rakyat.

Perdana Menteri memberitahu, peruntukan itu bagi menyediakan stok penimbal makanan, pembukaan kawasan baru pertanian dan subsidi bagi pengeluaran makanan.

"Peruntukan ini bagi membolehkan negara bersedia dalam menghadapi inflasi makanan global yang berlaku sekarang.

"Kerajaan akan memastikan bahawa negara ini mampu untuk memenuhi keperluan makanan sendiri sebanyak 100 peratus berbanding antara 65 peratus hingga 70 peratus sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyertai Program Pemukiman Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, masalah kekurangan bekalan makanan perlu ditangani cepat kerana ia boleh membawa masalah buruk serta tidak akan menyenangkan rakyat.

"Isu kenaikan harga barang merupakan antara isu utama yang diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan ia dirasai rakyat di samping pelbagai masalah lain berkaitan dengan kenaikan harga barang makanan global," katanya.

Abdullah memberitahu, dasar bekalan makanan mencukupi itu lebih berpusat kepada usaha untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang perlu dilaksanakan dengan secepat mungkin.

"Semua pihak perlu bergerak segera dan mengharapkan adanya kerjasama di antara kerajaan, swasta dan rakyat kerana ini adalah masalah bersama," katanya.

Mengenai inisiatif untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang, Perdana Menteri memberitahu, ia akan diumumkan secara terperinci setelah diperhalusi dengan lebih rapi.

"Kerajaan perlu memperhalusi inisiatif tersebut kerana bimbang ia akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara ini.

"Inisiatif itu akan dilaksanakan melalui pendekatan praktikal, berkemampuan, berkesan dan paling penting ia sampai kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah," katanya.

Baca Seterusnya

No comments: