Ketua pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa keris tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.
"Perkara ini dibangkitkan hanya bertujuan menakut-nakutkan pihak tertentu tambahan kita berada dalam negara majmuk dan untuk mempengaruhi adalah perkara biasa,'' beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita semalam.
Akhbar Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, beliau menyangkal laporan Malaysiakini kelmarin bahawa naib ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin mengakui isu keris menjadi satu daripada beberapa punca kemerosotan sokongan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu.
Hishammuddin berkata, berita-berita daripada laman web, blog atau khidmat pesanan ringkas (SMS) perlu diteliti terlebih dahulu kerana ia boleh menjejaskan perpaduan dan kredibiliti seseorang individu itu.
''Tak mungkin naib ketua saya boleh menyatakan sedemikian kerana dia sentiasa ada bersama-sama dengan saya," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG ke-39 dan Pengisytiharan 110 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih.
Khairy dilaporkan memberikan kenyataan itu ketika ditemui pemberita di program retreat ahli-ahli parlimen BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bagaimanapun, Khairy dalam laporan itu menolak tanggapan bahawa isu keris menjadi punca utama kemerosotan undi BN.
Keris Panca Warisan
Sebelum ini dua akhbar bawah Kumpulan NSTP, yang dikaitkan dengan Khairy, Berita Harian dan New Straits Times menyalahkan Hishammuddin kerana menghunus keris 'Panca Warisan' selama tiga tahun berturut-turut mulai 2005.Isu keris menjadi polemik besar selepas Astro membuat siaran langsung perhimpunan agung Umno pada 2006 sewaktu 'Panca Warisan' diarak masuk ke dewan dan kemudiannya dihunus dan dikucup oleh Hishammuddin.
Beliau menjulang keris bagi menunjukkan perjuangan Pemuda Umno mendaulatkan Agenda Melayu.
Bagaimanapun, tindakan Hishammuddin itu dikritik hebat oleh parti-parti komponen dalam Barisan Nasional dan yang paling lantang - Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan.
Hishammuddin mempertahankan tindakannya itu dengan menyatakan menghunus keris bukan bererti seseorang itu mahu mengancam atau mahu menikam orang lain, ia hanya simbol semata-mata.
"Malah keris juga tidak boleh dikaitkan dengan satu-satu kaum sahaja," katanya dalam sidang media sempena perhimpunan agung Pemuda MCA pada Ogos 2006.
Dalam perhimpunan agung Umno 2007, Hishammuddin sekali lagi menghunus, mengucup dan menjulang Keris Panca Warisan tanpa menghiraukan bantahan keras dan meluas bahawa ia merupakan simbol 'pergaduhan' yang boleh menimbulkan keresahan antara kaum.
Malah, Khairy selaku naib ketua pergerakan itu mengisytiharkan selagi ada Pemuda Umno, Keris Panca Warisan akan terus dijulang selama-lamanya.
Baca Seterusnya
No comments:
Post a Comment